AGAMA

Umat Islam digalak miliki takwim hijrah

27 Ogos 2020, 7:31 AM
Umat Islam digalak miliki takwim hijrah

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Setiap keluarga umat Islam digalakkan memiliki takwim hijrah di kediaman masing-masing sebagai rujukan ataupun kompas kehidupan yang berkait dengan syariat Islam serta peringatan kepada tarikh penting dalam kalendar Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata segala ibadah dalam Islam perlu merujuk kepada tahun hijrah, dan takwim berkenaan amat penting dalam menentukan segala hari kebesaran, haul zakat, tempoh iddah dan umur baligh.

“Takwim memainkan peranan amat kritikal dalam pengurusan kehidupan manusia. Ia merupakan sistem masa berkait rapat dengan aktiviti sosial dan keagamaan serta urusan pentadbiran kehidupan seharian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Takwim Hijrah Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) di sini hari ini.

Pada majlis itu, PICOMS, sebuah institut pengajian tinggi milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), melancarkan sebuah kalendar Takwim Hijrah melalui kerjasama dengan I Quest Training & Consultancy yang mempunyai ciri-ciri istimewa khusus kepada umat Islam sebagai panduan dan rujukan seharian.

Antara ciri dipaparkan takwim itu ialah sistem warna digunakan dan infografik serta simbol unik bagi menunjukkan tarikh penting dalam kalendar umat Islam, maklumat hari sesuai melakukan puasa sunat dan membaca al-Quran, selain hari perayaan, cuti umum dan persekolahan.

Zulkifli berkata Kempen 1 Rumah 1 Taqwim yang dilancarkan PICOMS juga wajar diperluaskan agar seluruh masyarakat Malaysia mendapat makluman dan manfaat menggunakan takwim Islam itu dalam kehidupan seharian.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619