AGAMA

Sambutan Maal Hijrah dalam norma baru, majlis ringkas 20 Ogos

13 Ogos 2020, 8:01 AM
Sambutan Maal Hijrah dalam norma baru, majlis ringkas 20 Ogos

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M akan berlangsung dalam majlis ringkas di Masjid Negara pada 20 Ogos ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata sambutan diadakan mengikut kebiasaan baharu dengan jumlah peserta dihadkan selain perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pihak berkuasa bagi mengekang penularan Covid-19.

“Untuk sambutan peringkat Wilayah Persekutuan dan kebangsaan, kita buat dalam bentuk amat ringkas iaitu pada sebelah petang dan Insya-Allah akan selesai selepas solat maghrib dan pada malamnya diadakan solat hajat.

"Anugerah (Maal Hijrah) akan dibuat di peringkat kebangsaan di Masjid Negara pada malam tersebut dalam kapasiti yang amat terhad, ringkas tetapi tujuannya untuk meninggikan syiar agama dan menzahirkan semangat hijrah Rasulullah SAW diadaptasikan dan dilaksanakan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Jawatankuasa Task Force Penguatkuasaan Isu-isu Semasa Agama di Media Sosial Bil 1/2020, di sini hari ini.

Zulkifli berkata sambutan Maal Hijrah bagi peringkat negeri pula tertakluk kepada pengurusan di negeri masing-masing.

Sementara itu, beliau berharap penubuhan Jawatankuasa Task Force Penguatkuasaan Isu-isu Semasa Agama di Media Sosial tersebut akan dapat menghasilkan penyelesaian kepada isu-isu berkaitan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), penghinaan terhadap agama Islam, ajaran sesat dan ateisme (fahaman tidak mengakui kewujudan tuhan).

“Saya berharap pelaksanaan yang berkesan dapat dimuktamadkan, bukan untuk menghukum semata-mata tetapi menyelesaikan masalah umat Islam untuk menuju kehidupan yang lebih harmoni,” katanya.

Menurutnya, persidangan itu diadakan bagi meneliti dan mengkaji secara mendalam langkah boleh diambil terhadap isu menghina agama Islam di media sosial dengan mengambil kira aspek tarbiah, penerangan, pemulihan, pencegahan dan undang-undang.

Persidangan sehari itu disertai ahli mesyuarat yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan antaranya wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619