AGENDA

WHO bincang dengan Rusia mengenai vaksin Covid-19

12 Ogos 2020, 4:28 AM
WHO bincang dengan Rusia mengenai vaksin Covid-19

GENEVA, 12 OGOS: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang dalam perbincangan dengan Rusia mengenai kemungkinan pra kelayakan vaksin COVID-19 pertama di dunia, lapor agensi berita Xinhua, memetik jurucakap WHO pada Selasa.

"Kami kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa kesihatan Rusia dan perbincangan masih berjalan mengenai kemungkinan pra kelayakan vaksin berkenaan oleh WHO,” kata jurucakap WHO Tarik Jasarevic dalam taklimat media secara maya.

"Pra kelayakan daripada mana-mana vaksin melibatkan tinjauan dan penilaian yang ketat terhadap semua data yang diperlukan untuk keselamatan dan keberkesanan" dalam ujian klinikal, kata Jasarevic, sambil menambah di peringkat WHO, proses ini adalah serupa bagi setiap calon vaksin.

"Setiap negara mempunyai badan pengawasan nasional yang meluluskan penggunaan vaksin atau ubat-ubatan di wilayahnya,” katanya.

"Pengilang memohon pra kelayakan WHO kerana ia membuktikan piawaian kualiti."

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Selasa berkata negaranya telah mendaftarkan vaksin melawan Covid-19 pertama di dunia.

Putin berkata beliau berharap pengeluaran massa vaksin yang telah didaftarkan di Rusia akan bermula dalam waktu terdekat, dan pemvaksinan tersedia untuk orang ramai di negara ini secara sukarela.

Timbalan Perdana Menteri Rusia, Tatyana Golikova berkata beliau berharap pengeluaran vaksin itu akan dimulakan pada akhir Ogos atau awal September dan pekerja kesihatan akan menjadi yang pertama diberi vaksin.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619