AGENDA

SPRM tahan seorang lagi anggota penguat kuasa MBSA

11 Ogos 2020, 1:51 PM
SPRM tahan seorang lagi anggota penguat kuasa MBSA

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Seorang lagi anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan, kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perniagaan tanpa lesen, di Sungai Buloh, dekat sini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini, seramai empat individu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, suspek keempat itu merupakan anggota penguatkuasa MBSA dari Cawangan Sungai Buloh.

Beliau berkata, suspek berusia 39 tahun ini ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada 5 petang tadi, selepas hadir memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

“Suspek menerima rasuah antara RM300 hingga RM3,500 sebulan yang dikutip untuk sebuah premis perniagaan di Sungai Buloh, kemudian suspek akan membahagikan wang kutipan itu kepada tiga lagi rakan suspek yang ditahan sebelum ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ahmad Khusairi berkata, suspek akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi esok.

Bernama hari ini melaporkan SPRM menahan tiga pegawai penguatkuasa MBSA untuk kes yang sama.

Baru-baru, tular dua klip video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi, serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan tersebut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619