AGENDA

Lindungi premis haram: Penguat kuasa lain mungkin terlibat

11 Ogos 2020, 11:07 AM
Lindungi premis haram: Penguat kuasa lain mungkin terlibat

PUTRAJAYA, 11 OGOS: Selepas penahanan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkaitan kes melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki tidak menolak kemungkinan anggota penguatkuasa lain turut terbabit.

"Mana-mana pihak yang terlibat kami (SPRM) akan siasat. Setakat ini penguatkuasa MBSA dan mungkin ada lagi. Wallahualam," katanya.

Ditemui pemberita selepas melancarkan program SPRM PUBG Mobile i-Challenge, di sini hari ini, Azam turut meminta semua pihak bersabar agar pihak SPRM dapat menjalankan tindakan penguatkuasaan di bawah bidang kuasanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya hari ini mengesahkan tiga pegawai penguatkuasa MBSA ditahan kerana disyaki mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh.

Mereka yang ditahan terdiri daripada dua pegawai penguatkuasa MBSA cawangan Sungai Buloh dan seorang daripada MBSA Shah Alam, berumur antara 41 tahun dan 49 tahun, ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, selepas dipanggil untuk memberi keterangan pada jam 9 pagi tadi.

Azam berkata SPRM menerima maklumat di seluruh negara berhubung kegiatan seperti perjudian dan rumah urut yang dilindungi pihak penguatkuasa.

"Namun demikian dalam kita nak menyiasat kes-kes rasuah, kita perlukan bukti dan sokongan daripada keterangan saksi," katanya, yang turut mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat atau pengadu kerana berani tampil memberi kerjasama kepada SPRM dalam membanteras kegiatan rasuah.

Mengulas dakwaan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa SPRM berat sebelah dalam menyiasat kesnya berbanding bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Azam berkata : "Kami (SPRM) tidak ada berat-sebelah pada mana-mana pihak. Kami menjalankan tugas seperti biasa, secara telus dan profesional."

Mengenai dakwaan Guan Eng yang dia perlu memakai baju lokap SPRM, Azam berkata pengunaan baju lokap berwarna oren terhadap individu adalah di bawah budi bicara pegawai penjaga lokap dan pegawai penyiasat.

Pada 8 Ogos lepas, Guan Eng menerusi laman Facebook berkongsi pengalaman ditahan dalam lokap SPRM sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur serta mendakwa dirinya tidak bernasib baik seperti menteri kewangan sebelumnya iaitu Najib ketika ditahan SPRM berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Ditanya sama ada individu lain akan didakwa berhubung kes rasuah melibatkan Lim Guan Eng yang membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, Azam berkata: "Setakat ini, mereka yang terlibat dalam kes itu telah dituduh di mahkamah."

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619