AGENDA

PM gesa rakyat anggap diri petugas barisan hadapan perangi Covid-19

8 Ogos 2020, 4:06 AM
PM gesa rakyat anggap diri petugas barisan hadapan perangi Covid-19

MUAR, 8 OGOS: Masyarakat perlu menganggap diri sendiri sebagai "petugas barisan hadapan" dan terus mengamalkan norma baharu dalam usaha membantu kerajaan memerangi penularan Covid-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menyeru masyarakat, Perdana Menteri berkata pematuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang sedia ada perlu diperluaskan lagi.

Katanya ini bagi mengelakkan daripada wujudnya kluster baharu yang menyebabkan peningkatan kes positif Covid-19 di negara kita.

“Justeru, kesedaran kawalan kendiri yang tinggi baik di tempat kerja, tempat-tempat awam, tempat ibadat mahupun di rumah perlu ada dalam diri ahli masyarakat pada setiap masa,” kata ahli parlimen Pagoh itu.

"Sebagai warganegara yang bertanggungjawab dalam memutuskan rantaian Covid-19, saya menyeru anda semua terus mempraktikkan amalan kebiasaan baharu dengan mematuhi garis panduan seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Kompleks Sukan Pagoh, hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau pasti masyarakat tidak mahu kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.

Katanya jika keadaan ini terjadi, sudah tentu banyak masalah lain timbul termasuklah mengganggu usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara.

“Tambahan pula, kerajaan telah memperuntukkan RM295 billion untuk memulihkan ekonomi selepas terkesan akibat Covid-19 dengan sebahagian daripada wang itu sudahpun diagihkan diberi kepada pihak-pihak yang memerlukan,” katanya.

“Kalau kita kembali semula dan terpaksa mengenakan PKP semula seperti asal maka ekonomi kita pastinya menghadapi kesan yang amat buruk dan kesannya itu akan dapat sama-sama dirasakan oleh rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat tidak boleh alpa dan perlu terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Bersempena pelancaran berkenaan, Muhyiddin turut memperkenalkan logo dan slogan kempen “Bersama Hentikan Wabak Covid-19” serta menyampaikan hadiah kepada pemenang iaitu Mohd Nor Fakihin Aqsa Mohd Nor Azam.

Mohd Nor Fakihin Aqsa memenangi Pertandingan Mencipta Logo dan Tagline kempen itu yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bermula 1 hingga 10 Julai lepas.

Selain itu, Perdana Menteri turut melancarkan Buku Pembudayaan Norma Baharu Komuniti yang diterbitkan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengandungi 26 muka surat.

Buku itu antara lain menekankan mengenai strategi kerajaan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), komuniti sebagai barisan hadapan, serta tindakan keluarga, institusi pendidikan, masjid dan lain-lain dalam bersama-sama mengekang penularan Covid-19.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619