AGENDA

Moratorium: Peminjam digesa urus dengan bank mulai Jumaat ini

5 Ogos 2020, 6:37 AM
Moratorium: Peminjam digesa urus dengan bank mulai Jumaat ini

PUTRAJAYA, 5 OGOS: Peminjam individu yang masih terjejas akibat pandemik Covid-19 dan mahu kemudahan moratorium mereka dilanjutkan, perlu segera berurusan dengan bank mulai Jumaat ini dan mengelak daripada melakukannya di saat-saat akhir.

Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah berkata ini penting memandangkan langkah terbabit bukan lagi secara automotik.

"Permohonan lanjutan moratorium itu harus dilakukan segera oleh peminjam kerana ia bukan lagi automatik seperti dahulu.

"Kita juga tidak mahu mereka (peminjam) buat permohonan di saat-saat akhir. Jika datang pada hujung September, kita risau dari segi kemampuan bank-bank untuk mengurus permohonan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM) ke-15 dan pelancaran siri Webinar Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI)-PERKEM 2020 di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Mohd Shahar berkata permohonan di saat-saat akhir juga berkemungkinan memberi kesan apabila mereka perlu mula membayar balik pinjaman pada Oktober sebaik berakhirnya tempoh moratorium pada 30 September.

"Proses permohonan ini memakan masa. Jika mereka lewat (membuat permohonan) maka Oktober nanti mereka perlu mula membayar.

"Ini pastinya memberi kesan terutamanya bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, belum mendapat kerja atau mengalami pengurangan pendapatan," katanya.

Mohd Shahar berkata nilai moratorium bayaran balik pinjaman yang diberi setakat 24 Julai lepas adalah berjumlah RM62.8 bilion yang melibatkan kira-kira 7.7 juta peminjam yang mana 243,000 adalah perusahaan kecil dan sederhana.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619