AGENDA

Penjenayah rasuah paling dikehendaki di Indonesia ditahan di Malaysia

1 Ogos 2020, 2:56 AM
Penjenayah rasuah paling dikehendaki di Indonesia ditahan di Malaysia

JAKARTA, 1 OGOS: Penjenayah rasuah paling dikehendaki di Indonesia, Djoko Soegiarto Tjandra, yang 11 tahun melarikan diri, akhirnya ditahan di Malaysia dan dibawa pulang ke Jakarta pada Khamis lepas.

Menurut media Indonesia, penangkapan Djoko, 68, itu adalah menerusi kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang membantu mengesan suspek pada petang 30 Julai dan dibawa pulang pada malam hari menjelang sambutan Aidiladha.

Tiada butiran terperinci berkenaan tempat tangkapan itu dilakukan.

"Kami berjaya menangkapnya pada hari Khamis petang,” kata Ketua Agensi Siasatan Jenayah Polis Indonesia Listyo Sigit Prabowo, seperti dipetik media tempatan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Perdana Halim Kesuma di Jakarta bersama suspek pukul 10.39 malam waktu Indonesia Barat.

Listyo Sigit turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada PDRM yang bekerjasama membantu menahan Djoko.

Djoko dibawa pulang dengan pesawat khas disewa polis Indonesia, yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang.

Djoko pertama kali ditangkap pada September 1999 kerana terlibat dalam kes rasuah Bank Bali yang berprofil tinggi.

Bagaimanapun beliau dibebaskan oleh Pengadilan atau Mahkamah Negeri Jakarta Selatan pada 2000.

Kesnya kemudian dibawa ke Mahkamah Agung dan beliau dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda Rp546 miliar (USD54 juta).

Namun, Djoko melarikan diri ke Papua New Guinea sehari sebelum keputusan mahkamah dan sejak itu dilaporkan telah menetap di beberapa negara termasuk Malaysia.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619