AGENDA

Polis panggil individu cetak logo Jata Negara dalam kasut

19 Jul 2020, 7:25 AM
Polis panggil individu cetak logo Jata Negara dalam kasut

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Polis akan memanggil dalam masa terdekat beberapa individu daripada syarikat pengeluar kasut, yang didakwa mencetak logo Jata Negara di bahagian dalam kasut keluarannya bagi membantu siasatan.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 5(1) Akta Lambang dan Nama Mencegah Penggunaan Tidak Wajar, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Mereka yang terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.

Pada Sabtu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan tetap perlu diambil terhadap syarikat kasut yang didakwa mencetak logo Jata Negara di bahagian dalam kasut keluarannya, walaupun telah membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan itu.

Saifuddin berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana lambang kebesaran negara termasuk Jata Negara mesti dihormati, selain kejadian itu adalah yang kedua selepas kejadian hina Jata Negara, dalam penerbitan sebuah buku baru-baru ini.

Semalam, media melaporkan pengeluar kasut terbabit telah membuat permohonan maaf secara terbuka, selepas gambar kasut keluarannya yang mengandungi logo Jata Negara tular di media sosial dan mengarahkan pemberhentian pengeluaran produk itu dengan serta-merta.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619