AGENDA

Harga ayam mula tunjuk trend turun, perhebat pantau

19 Jul 2020, 5:56 AM
Harga ayam mula tunjuk trend turun, perhebat pantau

PUTRAJAYA, 19 JULAI: Pemantauan harga ayam semasa oleh Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati, harga runcit ayam standard mula menunjukkan trend penurunan di pasar besar dan pasar raya, bermula 1 hingga 17 Julai.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman dalam kenyataannya hari ini berkata, trend berkenaan adalah selari dengan penurunan harga ladang ayam hidup, yang menunjukkan penurunan harga pada minggu kedua Julai antara RM4.50/kg hingga RM5.40/kg, daripada minggu pertama iaitu RM5.20/kg hingga RM6.10/kg.

“Harga ayam standard pada Julai 2020 adalah antara RM8.00/kg hingga RM8.50/kg dan telah menurun pada minggu kedua dengan harga RM7.60/kg hingga RM7.90/kg,” katanya lagi.

Iskandar Halim berkata, KPDNHEP akan terus memantau bekalan dan harga ayam semasa di pasaran, supaya pengguna dapat memperoleh ayam dengan harga yang berpatutan.

Tambah beliau, KPDNHEP telah melaksanakan pemeriksaan kenaikan harga ayam, ekoran aduan yang diterima daripada orang ramai pada 15 Jun lepas.

Jelas Iskandar Halim, pemantauan dilaksanakan di bawah perundangan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (AKHAP) 2011, untuk mengenal pasti peringkat rantaian pembekalan yang memulakan punca kenaikan harga ayam, serta mengesan sekiranya wujud aktiviti anti-pencatutan.

Katanya, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka ke atas peniaga ayam yang disyaki melakukan kesalahan mencatut dalam pemeriksaan yang dilaksanakan dalam tempoh 17 Jun hingga 30 Jun.

“Semua kertas siasatan tersebut sedang dalam siasatan lanjut untuk melengkapkan dokumen pembuktian, sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya KPDNHEP,” tambahnya lagi

Jelas Iskandar Halim, lapan kes ini melibatkan empat peruncit di pasar awam Melaka dan empat pemborong ayam, iaitu satu di Melaka dan tiga lagi di Kuala Lumpur. Semua kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 14(1) AKHAP.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619