AGENDA

14 individu ingkar arahan PKP ditahan

18 Jul 2020, 7:38 AM
14 individu ingkar arahan PKP ditahan

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Seramai 14 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya daripada jumlah itu, seramai tiga individu direman dan 11 individu lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah membuat 62,386 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Selain itu, katanya seramai sembilan warga asing ditahan dalam Operasi Benteng yang diadakan oleh pihak berkuasa dalam usaha mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Dalam operasi itu, 67 sekatan jalan raya telah diadakan dan 43,033 kenderaan diperiksa bagi menghalang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata semalam, seramai 707 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari China, Indonesia, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Kemboja, Filipina, Hong Kong, Pakistan, Arab Saudi dan Jepun.

Jelasnya daripada jumlah itu 706 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala seorang lagi dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Menyentuh tentang 96 rakyat Malaysia yang tiba dari India pagi tadi, Ismail Sabri menjelaskan kesemua mereka akan menjalani kuarantin wajib 14 hari di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai, Negeri Sembilan.

“Pusat pemantauan ini akan diselia oleh petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga dikawal oleh PDRM. Oleh itu, pihak luar termasuk ahli keluarga tidak dibenarkan mengunjungi AKEPT,” katanya.

Sementara itu dalam pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP yang dijalankan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), 50 premis diberikan amaran kerana tidak mematuhi SOP.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619