AGENDA

Tukar pesakit, palsu laporan antara taktik sindiket tuntutan Perkeso

8 Jul 2020, 9:29 AM
Tukar pesakit, palsu laporan antara taktik sindiket tuntutan Perkeso

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Sanggup menukar pesakit ketika pemeriksaan doktor dan mengubah maklumat laporan perubatan merupakan antara modus operandi sindiket tuntutan palsu bagi mendapatkan bayaran faedah dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata taktik berkenaan dipercayai dijalankan dalang bertindak seumpama agen insurans bagi mendapatkan pelbagai tuntutan faedah seperti tuntutan hilang upaya sementara, hilang upaya kekal dan tuntuan pencen ilat.

"Mereka (dalang) memperdaya pencarum dengan mengatakan mereka sebagai orang tengah yang boleh menjamin memperoleh tuntutan faedah dari Perkeso dan mengenakan bayaran antara RM15,000 dan RM20,000 untuk tuntutan tertentu,” katanya.

Dr Mohammed Azman berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini bagi mengulas tangkapan dalang penipuan dana Perkeso oleh SPRM, Isnin lepas.

Menurut beliau, sindiket tuntutan palsu tersebut dipercayai masih aktif di sekitar Lembah Klang, Johor Bahru dan Klang, Selangor.

Dr Mohammed Azman berkata sebanyak 415 kes penipuan pelbagai tuntutan dikesan dari 2017 hingga 2019 melibatkan kerugian RM26 juta dan jika dibayar berterusan tuntutan tersebut, ia akan melibatkan kerugian hingga RM68 juta.

"Kes (tuntutan palsu) berjaya kita kesan dan sebahagiannya sedang dalam siasatan PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya sambil menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana wakil atau agen yang boleh memudah dan meluluskan tuntutan faedah dari Perkeso.

Justeru katanya, pencarum Perkeso, yang ingin membuat tuntutan, perlu hadir ke pejabat Perkeso dan proses tuntutan adalah percuma.

"Jika ada pihak terlibat atau dah bayar duit dengan mana-mana agen atau dalang, sila tampil untuk memberi maklumat,” katanya menambah Perkeso memandangkan serius isu ini dan mahu aktiviti ini dihentikan segera.

Isnin lepas, sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka ditahan SPRM dipercayai menjadi dalang sindiket penipuan faedah Perkeso yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

Suspek yang berusia antara 35 hingga 67 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di SPRM Putrajaya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619