BERITA UTAMA

Premis dijaga warga asing, peniaga tempatan bakal disenarai hitam

30 Jun 2020, 10:03 AM
Premis dijaga warga asing, peniaga tempatan bakal disenarai hitam

KLANG, 30 JUN: Tindakan disenarai hitam akan dikenakan kepada peniaga tempatan yang menyerahkan premis perniagaan mereka kepada warga asing, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata menerusi tindakan itu pihaknya tidak akan membenarkan golongan berkaitan menjalankan perniagaan dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

"Kita sedang meneliti tindakan berkenaan memandangkan hukuman membatalkan lesen dilakukan sebelum ini membolehkan peniaga tempatan melakukan kesalahan berulang kali kerana pemohonan lesen perniagaan boleh dibuat kembali selepas pembatalannya.

"Saya amat berharap supaya mereka bersemangat patriotik dan tidak sewenang-wenangnya menyerahkan kemudahan diberikan kepada warga asing, fikirkan demi masa depan anak bangsa," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPK di sini hari ini.

Pada masa sama, Dr Ahmad berkata MPK akan turut meneliti pemberian lesen kepada warga tempatan yang berkahwin dengan warga asing susulan ramai daripada mereka mengambil kesempatan itu.

"Sepatutnya warga tempatan yang memiliki lesen perniagaan perlu berada di premis dan bukan sebaliknya iaitu pasangan (warga asing) yang menjaga kedai, ia adalah salah dari segi undang-undang.

"Oleh sebab itu, apabila penguat kuasa MPK mendapati warga asing yang berada di kedai maka tindakan membatalkan lesen boleh diambil," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619