AGENDA

Majikan tidak salur subsidi upah boleh dikenakan tindakan

23 Jun 2020, 6:45 AM
Majikan tidak salur subsidi upah boleh dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Kerajaan ada menerima maklumat terdapat majikan yang tidak menyalurkan subsidi upah kepada pekerja mereka dan ini telah melanggar syarat-syarat, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata bantuan rangsangan ekonomi tidak seharusnya disalah guna malah majikan perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak mengambil kesempatan serta menganiaya pekerja mereka.

“Saya ingin mengingatkan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap majikan-majikan ini,” katanya ketika membentangkan Laporan ke-10 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Program Subsidi Upah (PSU) merupakan bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

Tujuan PSU ialah membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat Covid-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

Tengku Zafrul berkata sehingga 19 Jun, sebanyak RM4.89 bilion telah diluluskan bagi 303,596 majikan yang memberi manfaat kepada lebih 2.40 juta pekerja di bawah program tersebut.

"Saya mengingatkan sekali lagi bahawa dengan penyelarasan Program Subsidi Upah di bawah PENJANA, majikan boleh mula membuat permohonan untuk program Subsidi Upah yang telah ditambah baik mulai 15 Jun (iaitu minggu lepas),” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619