AGENDA

Pembukaan prasekolah, tadika 1 Julai tidak ditangguh

23 Jun 2020, 4:05 AM
Pembukaan prasekolah, tadika 1 Julai tidak ditangguh

IPOH, 23 JUN: Pembukaan prasekolah, tabika serta tadika kerajaan dan swasta yang dijadual bermula 1 Julai ini tidak akan ditangguhkan, kata Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata ini kerana keputusan membuka semula adalah disebabkan permintaan daripada ibu bapa bekerja yang memerlukan anak mereka dihantar semula ke prasekolah atau tadika.

"(Pembukaan semula prasekolah) perlu diteruskan ...jika ada prasekolah yang mempunyai masalah nanti kita cuba selesaikan. Persiapan telah kita buat dan ambil maklum bila ada keperluan, dan telah diberi kelulusan, perlu diteruskan," katanya.

Dr Mah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau persiapan sempena pembukaan semula sesi persekolahan melibatkan pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam mulai esok di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent di sini yang turut disertai Pengarah Pendidikan Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali hari ini.

Semalam, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta agar kerajaan menangguhkan pembukaan prasekolah dan tadika yang dijadual bermula 1 Julai ini.

Presiden NUTP Aminudin Awang berkata pihaknya mendapati kebanyakan prasekolah dan tadika belum bersedia untuk beroperasi berikutan kekangan infrastruktur dalam memenuhi tatacara operasi piawai (SOP) kerajaan.

Sementara itu, Dr Mah berkata berdasarkan hasil lawatan pihak Kementerian Pendidikan ke beberapa sekolah menengah mendapati segala persiapan berjalan lancar dan sempurna sebelum sesi persekolahan bermula esok.

"Kita akan teruskan lawatan ke sekolah yang lain untuk memastikan kesemua sekolah telah bersiap siaga untuk pembukaan semula sekolah dan setakat ini didapati kesemuanya bersiap sedia," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619