AGENDA

Pembukaan sempadan: Malaysia harap Singapura, Brunei setuju

22 Jun 2020, 12:28 PM
Pembukaan sempadan: Malaysia harap Singapura, Brunei setuju

PUTRAJAYA, 22 JUN: Malaysia masih di peringkat awal perbincangan dengan Singapura dan Brunei mengenai pembukaan semula sempadan antarabangsa secara bersyarat.

"Setakat ini, masih di peringkat awal dan sekarang perbincangan ini bukan hanya melibatkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) tetapi melibatkan Kementerian Luar dan sebagainya.

"Pasukan kerajaan telahpun berbincang tapi masih belum dapat persetujuan lagi," kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) yang dipersetujui secara dua hala serta kerjasama dengan negara-negara terbabit amat penting dalam melaksanakan perkara tersebut.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata pembukaan semula sempadan itu mungkin dilaksanakan semasa atau selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akhir Ogos ini.

Ditanya bagaimana KKM mengklasifikasi sesebuah negara sebagai zon hijau, beliau berkata ia berpandukan beberapa indikator seperti penularan kes jangkitan sama ada dalam negara atau kes import, melibatkan warga tempatan atau asing, trend jangkitan dalam tempoh tertentu dan dasar yang diamalkan negara-negara tersebut dalam mengawal penularan Covid-19.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata KKM telah mengenal pasti enam negara zon hijau Covid-19 bagi pembukaan semula sempadan antarabangsa negara secara bersyarat iaitu Singapura, Brunei, New Zealand, Jepun, Australia dan Korea Selatan.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham mengumumkan satu lagi kluster yang diisytiharkan tamat hari ini iaitu kluster Depot Tahanan Imigresen Semenyih, yang pernah menyebabkan jangkitan 66 kes tanpa kematian, menjadikan sebanyak 41 kluster ditamatkan secara keseluruhan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619