AGENDA

Pengendali laman sosial promosi bawa masuk pendatang diburu

22 Jun 2020, 12:18 PM
Pengendali laman sosial promosi bawa masuk pendatang diburu

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang giat memburu pengendali akaun yang mempromosi perkhidmatan membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini dalam laman sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata siasatan awal mendapati, salah seorang pengendali akaun itu telah ditahan dalam Op Covid-19 Benteng, pada 4 hingga 7 Jun lepas.

"Polis masih lagi mengesan individu lain dipercayai pengendali laman sosial yang mempromosi perkhidmatan membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Huzir berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang mendakwa terdapat sindiket mempromosi perkhidmatan membawa pendatang tanpa izin ke negara ini menerusi laman sosial Facebook.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya turut memantau kegiatan berkenaan dengan melakukan perkongsian maklumat antara agensi.

"Polis dan Imigresen masing-masing telah berkongsi maklumat berhubung isu ini malah kami sentiasa memantau isu yang dibangkitkan dalam laman sosial termasuk aktiviti membawa masuk pendatang tanpa izin," katanya.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM1,600 hingga RM3,000 untuk membawa masuk seorang pendatang tanpa izin warga Indonesia ke negara ini.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sejak 1 Mei hingga semalam, 977 pendatang tanpa izin dan 161 tekong ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama melalui lorong tikus.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619