AGENDA

Letusan Gunung Merapi, Indonesia dijangka tidak jejas Malaysia

21 Jun 2020, 2:30 PM
Letusan Gunung Merapi, Indonesia dijangka tidak jejas Malaysia

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Letusan gunung berapi yang berlaku dua kali di Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia pagi tadi, dijangka tidak menjejaskan kualiti udara Malaysia walaupun debunya mencapai sehingga 6,000 meter ke udara.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata ini kerana angin pada paras debu itu bertiup ke arah selatan dan barat daya, malah tiada kesan gempa bumi dan tsunami dijangka melanda negara ini.

"Keadaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan kualiti udara di seluruh negara dalam keadaan biasa," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata sehingga 7.00 malam ini, empat lokasi di bandar utama menunjukkan bacaan IPU antara 0 hingga 50 atau kategori baik iaitu Seremban, Negeri Sembilan (47); Kota Tinggi, Johor (48); Kota Kinabalu, Sabah (21); dan Kuching, Sarawak (18).

Tujuh kawasan merekod kualiti udara sederhana, bacaan IPU melebihi 51 hingga 100 iaitu Batu Muda, Kuala Lumpur (56); Petaling Jaya, Selangor (54); Putrajaya (52); Bandaraya Melaka, Melaka (51); manakala masing-masing mencatat bacaan 58 di Tasek Ipoh, Perak; Seberang Perai, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu, Terengganu.

Dilaporkan, Gunung Merapi meletus pada 10.13 pagi dan 10.27 pagi tadi.

Sehingga kini, Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kebencanaan (BPPTKG) Yogyakarta masih menetapkan status Gunung Merapi pada tahap waspada.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619