AGENDA

Covid-19: Tukang gunting rambut positif, 40 kontak rapat dikenal pasti

12 Jun 2020, 11:30 AM
Covid-19: Tukang gunting rambut positif, 40 kontak rapat dikenal pasti

SHAH ALAM, 12 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti seramai 40 kontak rapat kepada seorang tukang gunting rambut warganegara Pakistan yang disahkan positif Covid-19 di Setapak, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua kontak rapat sudah disaring dan diarah menjalani kuarantin di rumah manakala lelaki terbabit sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

"Hasil siasatan awal, kedai gunting rambut tersebut tidak beroperasi sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu namun beliau terus memberi perkhidmatan dari rumah ke rumah atas permintaan pelanggan di kawasan sekitar.

"Terdapat 25 kontak rapat dikenalpasti dengan rekod panggilan telefon iaitu empat rakan serumahnya dan 21 pelanggan manakala selebihnya mendapat perkhidmatan sehingga semalam," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata lebih 2,000 tukang gunting rambut warga asing di negara ini perlu menjalani saringan terlebih dahulu sebelum kembali bekerja.

"Kita telah kaji hal ini...kebimbangan KKM ialah warga asing dan kalau lihat pada data setiap hari, kes positif melibatkan warganegara sudah kurang.

"Namun, warga asing perlu dilihat dengan teliti iaitu salah satu syarat untuk mereka mula bekerja perlu jalani ujian Covid-19," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619