AGENDA

CIDB: Kontraktor perlu manfaat ujian percuma Covid-19 Perkeso

12 Jun 2020, 7:03 AM
CIDB: Kontraktor perlu manfaat ujian percuma Covid-19 Perkeso

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menggesa kontraktor di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menghantar pekerja asing mereka untuk menjalani ujian Covid-19 melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

CIDB menerusi kenyataan hari ini berkata dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, ujian Covid-19 diwajibkan untuk semua pekerja asing di semua kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun pekerja asing yang memohon menjalani ujian Covid-19 atau menunggu keputusan ujian, dibenarkan untuk bekerja sementara menunggu giliran untuk diuji atau sehingga keputusan ujian diperoleh dengan syarat mematuhi semua Prosedur Operasi Standard yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara,” kata CIDB.

Pada 27 April, Perkeso melancarkan Program Saringan Prihatin (PSP) Perkeso yang menawarkan ujian Covid-19 secara percuma kepada pencarum.

Buat masa ini, PSP Perkeso adalah untuk pekerja asing di sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor.

CIDB juga berkata pembekal perkhidmatan PSP Perkeso berupaya menjalankan sehingga 15,000 ujian sehari dan keputusan ujian boleh diperoleh dalam tempoh tiga hari.

“Berdasarkan data Perkeso sehingga kini hanya 31,301 orang pekerja asing meliputi semua sektor telah menjalani ujian Covid-19 melalui PSP Perkeso dan daripada jumlah itu, 40.8 peratus daripada sektor pembinaan.

"Bermula 1 Jun, saringan Covid-19 di bawah PSP Perkeso boleh dilakukan di mana-mana penyedia perkhidmatan (klinik/hospital) yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

CIDB berkata majikan dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor boleh membuat tuntutan subsidi daripada Perkeso sebanyak RM150 bagi setiap saringan Covid-19 untuk pekerja mereka yang mencarum.

“Bagi yang masih belum mencarum dengan Perkeso, mereka boleh mendaftar sebelum menjalani ujian saringan tersebut,” katanya.

Pertanyaan lanjut mengenai PSP PERKESO, boleh hubungi talian khidmat pelanggan Perkeso di 03-42645089/03-42645555/1-300-22-8000 atau e-mel ke hsp@perkeso.gov.my.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619