BERITA UTAMA

PKPB sambung atau tidak? Tunggu PM umum hari ini

6 Jun 2020, 11:26 PM
PKPB sambung atau tidak? Tunggu PM umum hari ini

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Persoalan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan atau tidak, dijangka diketahui hari ini menerusi perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengumuman yang bakal disampaikan itu tepat pada masanya memandangkan tempoh PKPB yang bermula 4 Mei lepas akan berakhir dua hari lagi iaitu pada 9 Jun.

Jika diimbas, sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lepas dengan hanya perkhidmatan perlu dibenarkan, kerajaan kemudian memberi kelonggaran secara berperingkat kepada lebih banyak sektor ekonomi untuk beroperasi.

Terbaharu adalah perkhidmatan gunting, dandanan rambut dan kecantikan yang dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media semalam.

Semestinya ia berita gembira untuk masyarakat, apatah lagi buat kaum Adam yang sering tertanya-tanya bilakah kedai gunting rambut akan dibuka. Mana tidaknya, lebih dua bulan tidak mendapat sentuhan pendandan rambut, pelbagai ‘gaya’ dapat dilihat dalam kalangan mereka sehingga ada yang menggunakan khidmat isteri sendiri untuk menggunting rambut.

Bagi wanita pula, khidmat kecantikan termasuk merias dan merawat kuku serta solekan dan rawatan muka juga dibenarkan beroperasi bermula pada tarikh sama.

Selain itu, peniaga di pasar terbuka, pasar pagi dan pasar malam serta bazaria di Wilayah Persekutuan kini boleh menarik nafas lega apabila premis berkenaan dibenarkan beroperasi mulai 15 Jun, tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sama ada PKPB disambung atau tidak, normal baharu yang telah diamalkan sekarang seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan penjagaan kebersihan termasuk kerap mencuci tangan tetap perlu diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Selain itu, elakkan tempat sesak, kawasan sempit dan elak sembang atau bertutur dengan jarak dekat seperti yang dinasihatkan oleh ‘jeneral perang Covid-19’, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah setiap hari.

Setakat semalam, jumlah jangkitan kes baharu positif Covid-19 masih kekal dua angka iaitu 37 kes dengan 10 kes melibatkan warganegara Malaysia.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619