AGENDA

Kes 1MDB Najib sambung 29 Jun, tumpu isu SRC

4 Jun 2020, 7:09 AM
Kes 1MDB Najib sambung 29 Jun, tumpu isu SRC

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan disambung di Mahkamah Tinggi hari ini, dilapangkan bagi memberi laluan kes SRC International Sdn Bhd yang turut dihadapi bekas perdana menteri itu.

Penangguhan itu susulan permohonan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah supaya mahkamah melapangkan perbicaraan kes berkenaan setelah pasukan pembelaan masih belum selesai mengemukkan hujah lisan dalam kes SRC International.

""Mengenai penghujahan dalam kes SRC International, hari ini kami (pembelaan) akan meneruskannya dan berharap akan berlangsung sepanjang hari. Oleh itu, kami dengan hormat meminta agar perbicaraan kes 1MDB ini dilapangkan,” katanya kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 29 Jun bagi mendengar kes 1MDB itu.

Pendakwaan diwakili Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Apabila perbicaraan kes 1MDB itu disambung semula, Muhammad Shafee dijangka meneruskan pemeriksaan balas saksi pendakwaan kesembilan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Di Mahkamah Tinggi yang lain, Najib dibicarakan atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan menyalahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Kes berkenaan kini di peringkat penghujahan lisan di akhir kes pembelaan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619