AGENDA

Bicara SRC Najib dilapangkan, beri laluan kes 1MDB

2 Jun 2020, 5:02 AM
Bicara SRC Najib dilapangkan, beri laluan kes 1MDB

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) yang sepatutnya bermula hari ini dilapangkan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Nur Syahirah Hanapiah, yang mewakili Najib kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Peguam itu berkata mahkamah telah menghantar notis kepada pihak-pihak yang terlibat pada 13 Mei lepas bagi memaklumkan mengenai tarikh perbicaraan yang telah dilapangkan.

"Ini berikutan mahkamah memberi keutamaan untuk kes lain melibatkan Datuk Seri Najib yang sedang dalam perbicaraan antaranya kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan laporan audit," katanya.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah menetapkan 27 Julai depan untuk pengurusan kes yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 13 hari bermula 2 sehingga 25 Jun untuk perbicaraan kes itu.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Najib juga menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC iaitu tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan dana itu.

Kes itu di peringkat hujahan lisan di akhir kes pembelaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619