AGENDA

Rentas negeri tanpa sebab jejas pergerakan petugas barisan hadapan

20 Mei 2020, 1:28 AM
Rentas negeri tanpa sebab jejas pergerakan petugas barisan hadapan

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Tindakan segelintir individu melakukan perjalanan rentas negeri tanpa alasan munasabah hanya mengganggu pergerakan petugas barisan hadapan yang kini berusaha mengekang penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya mengganggu kelancaran pergerakan kenderaan perkhidmatan perlu untuk sampai ke destinasi tertentu.

Katanya tindakan tegas termasuk kompaun akan dikenakan terhadap individu yang cuba melakukan pergerakan rentas negeri untuk menyambut Aidilfitri.

"Nasihat saya... polis akan bertegas dan arahkan mereka (yang tidak mendapat kebenaran rentas negeri) berpatah balik.

"Jika degil, tindakan kompaun dan undang-undang akan diambil dan saya seru semua pihak berkorban demi kebaikan bersama… ianya hanya untuk raya tahun ini sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata pasukan ‘jam squad’ masih ditugaskan memantau kesesakan lalu lintas yang berlaku di sekatan jalan raya.

"Pasukan ini akan memberi nasihat serta memastikan aliran trafik di sekatan jalan raya lancar," katanya.

Pada 19 April lepas, Azisman berkata polis menubuhkan pasukan ‘jam squad’ yang dianggotai 20 anggota bermotosikal bagi memantau kesesakan lalu lintas di sekatan jalan raya sekitar Lembah Klang sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619