AGENDA

2,362 pelajar pengajian tinggi pulang malam tadi

6 Mei 2020, 12:29 AM
2,362 pelajar pengajian tinggi pulang malam tadi

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Seramai 2,362 penuntut dari tujuh universiti di zon tengah pulang serentak ke beberapa lokasi selatan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor bermula pukul 10 malam tadi dalam proses yang sekali lagi diuruskan oleh Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Menurut kenyataan daripada Kementerian Pengajian Tinggi malam tadi, universiti awam terlibat itu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah UPM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), UiTM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTM KL).

“Saya doakan kesemua pelajar selamat dalam perjalanan menaiki 14 buah bas ke 11 lokasi Ibu Pejabat Daerah (IPD) iaitu tiga di Negeri Sembilan, tiga di Melaka dan lima di Johor,” kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr. Noraini Ahmad dalam kenyataan itu.

Setibanya penuntut ini ke IPD masing-masing, mereka akan dihantar ke rumah.

Dr Noraini berpuas hati dengan kelancaran proses pada malam tadi yang diselaraskan secara keseluruhan oleh UPM.

“Terima kasih kepada usaha Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Setia Datuk Dr. Aini Ideris dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dalam memastikan proses ini berjalan lancar,” katanya.

UPM pada 2 Mei turut menjadi tuan rumah bagi proses perjalanan pulang penuntut Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta zon tengah (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) ke beberapa lokasi di zon Perak melibatkan 1,876 pelajar.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619