AGENDA

Ringgit dibuka rendah 4.3620/3720 berbanding dolar AS

24 Apr 2020, 2:38 AM
Ringgit dibuka rendah 4.3620/3720 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Ringgit mencatatkan prestasi berbeza berbanding kenaikan semalam untuk dibuka rendah hari ini susulan kebimbangan yang timbul semula mengenai kesan ekonomi akibat Covid-19, walaupun harga minyak mentah global kembali meningkat.

Pada 9.01 pagi, unit tempatan susut 70 mata asas ke 4.3620/3720 berbanding dolar AS dari 4.3550/3650 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu lagi sehingga 12 Mei telah mencetuskan kegelisahan dalam kalangan pelabur, kerana mereka bimbang ia boleh mempengaruhi aktiviti ekonomi negara.

“Kebimbangan mengenai kemungkinan gelombang kedua Covid-19 juga menjejaskan minat risiko daam pasaran,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengumumkan PKP, yang akan berakhir pada 28 April, telah dilanjutkan dua minggu lagi hingga 12 Mei, 2020.

Ia merupakan kali ketiga PKP, yang dikuatkuasakan mulai 18 Mac, dilanjutkan dalam usaha negara memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia, malah perdana menteri tidak menolak kemungkinan PKP dilanjutkan lagi selepas 12 Mei.

Dalam pada itu, penurunan ringgit telah dihadkan oleh harga minyak mentah yang lebih baik dengan penanda aras global, Brent naik 2.48 peratus kepada US$21.86 setong pada 9.36 pagi, sementara penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) meningkat 2.79 peratus kepada US$16.96 setong.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata dengan disokong oleh pakej rangsangan ekonomi China dan harga komoditi dijangkakan meningkat semula pada suku ketiga 2020, ringgit diunjurkan menutup dagangan minggu ini dengan prestasi lebih positif.

Pada pembukaan, unit tempatan didagangkan rendah berbanding mata wang utama.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0578/0659 daripada 3.0559/0640 ketika ditutup semalam dan rendah berbanding yen kepada 4.0494/0598 daripada 4.0466/0571.

Ringgit lemah berbanding pound Britain kepada 5.3879/4012 daripada 5.3784/3921 semalam serta turun berbanding euro kepada 4.6961/7073 daripada 4.6912/7037.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619