AGENDA

Buang haiwan peliharaan meningkat semasa PKP - persatuan haiwan

20 Apr 2020, 2:18 PM
Buang haiwan peliharaan meningkat semasa PKP - persatuan haiwan

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Pembuangan haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing meningkat tiga kali ganda di sekitar Kuala Lumpur ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menurut Persatuan Haiwan Malaysia.

Presidennya Arie Dwi Andika berkata perkara itu dikesan berdasarkan maklumat terdapat kucing dan anjing baharu dalam satu-satu kawasan yang dijaga Pemberi Makan Haiwan Jalanan.

"Misalnya, sesuatu kawasan itu selalu ada lima ekor anjing, tetapi semalam jumlah itu meningkat kepada 18 hingga 20 ekor, kira-kira tiga kali ganda. Kesemua anjing yang dibuang itu berada dalam keadaan sihat dan sangat bersih," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ditanya mengenai kelakuan anjing-anjing baharu itu, Arie berkata ia amat jinak dan tidak agresif.

Beliau menambah, hasil tinjauan pihaknya juga mendapati kebanyakan haiwan itu dibuang di kawasan perindustrian yang sunyi dan bukannya di kawasan perumahan.

"Pemilik haiwan memilih kawasan itu bagi mengaburi mata orang awam. Mereka langsung tidak mempedulikan keselamatan dan makan minum haiwan berkenaan," katanya.

Arie berkata persatuan tidak menolak kemungkinan pemilik haiwan bertindak sedemikian kerana khuatir jangkitan penyakit dan tidak mampu meneruskan memelihara haiwan peliharaan kerana kehilangan sumber pendapatan ketika musim PKP ini.

"Ke manakah kasih sayang sebelum ini telah pergi? Apakah nasib anjing dan kucing peliharaan yang selama ini menganggap pemilik sebagai keluarga sendiri dan sebagai tempat berteduh selepas dibuang," soal beliau.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa supaya mewajibkan pemasangan 'mikrocip identiti' di badan haiwan berkenaan kerana ia akan membantu mengesan pemilik haiwan jika mereka membuang haiwan itu.

Sementara itu, peguam Nor Zabetha Muhammad Nor berkata pemilik haiwan yang meninggalkan haiwan yang menyebabkan ia terabai, sakit, lapar dan dahaga, boleh didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

"Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(p) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun," tegasnya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619