AGENDA

Cuepacs: Bayar elaun khas petugas barisan hadapan bersama gaji

19 Apr 2020, 7:56 AM
Cuepacs: Bayar elaun khas petugas barisan hadapan bersama gaji

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan agar elaun khas petugas barisan hadapan yang terlibat dengan pengurusan Covid-19 dibayar secara terus bersama gaji setiap bulan kepada petugas terbabit.

Presidennya Adnan Mat dalam kenyataan hari ini berkata ia bertujuan memudahkan cara pembayaran elaun kepada petugas berkenaan tanpa perlu mengisi borang yang sama setiap bulan, selain mengurangkan kerenah birokrasi.

"Cuepacs menerima banyak aduan dan rungutan mengenai kerenah birokrasi serta penetapan syarat yang dilihat merumitkan petugas barisan hadapan untuk membuat tuntutan elaun berkenaan.

"Elaun yang diberikan kerajaan adalah suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan. Jangan kita lunturkan semangat dengan kerenah birokrasi," katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac lepas mengumumkan peningkatan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 bagi petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan serta membendung Covid-19.

Bagi anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mereka akan menerima elaun khas RM200 sebulan.

Elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak Covid-19 berakhir.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619