AGENDA

KPM saran Ujian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain dibatalkan - menteri

15 Apr 2020, 11:41 AM
KPM saran Ujian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain dibatalkan - menteri

PUTRAJAYA, 15 APRIL: Semua Majlis Agama Negeri disaran agar membatalkan Ujian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata kementeriannya telah berbincang dengan kesemua Majlis Agama Negeri mengenai pembatalan peperiksaan itu, mengambil kira keselamatan murid.

“Saya sudah berbincang dengan semua Majlis Agama Negeri berkaitan ujian Kafa dan sebagainya, kita tekankan bahawa negeri-negeri secara umumnya mengambil langkah yang sama.

“Apa yang penting adalah keselamatan anak-anak, mereka masih kecil dan tempoh pengajian masih jauh lagi,” katanya pada sidang media hari ini.

Mohd Radzi berkata jumlah pelajar UPSR tahun ini iaitu lebih 450,000 orang disifatkan satu jumlah yang besar dan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Susulan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi menyampaikan saranan itu agar selaras dengan keputusan KPM.

Mengulas mengenai kelas pra-sekolah di bawah KPM, Mohd Radzi berkata ia juga perlu ditangguhkan sehingga keselamatan murid-murid terjamin.

“Fokus kita adalah kepada murid yang mudah dikawal oleh guru. Cabaran utama yang di Tadika adalah untuk melakukan penjarakan sosial (dalam kalangan murid-murid Tadika).

“Apabila sekolah dibuka (selepas PKP) yang pergi ke sekolah dahulu adalah tingkatan lima dan enam,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619