AGENDA

Peperiksaan batal, program matrikulasi sesi 2019/2020 ditamatkan

12 Apr 2020, 2:25 AM
Peperiksaan batal, program matrikulasi sesi 2019/2020 ditamatkan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Peperiksaan Semester II Program Matrikulasi (PSPM) Kementerian Pendidikan (KPM) Sesi 2019/2020 yang dijadualkan pada 27 April hingga 4 Mei dibatalkan, setelah kementerian itu membuat penelitian ke atas situasi semasa wabak Covid-19 di negara ini.

Berikutan pembatalan itu, KPM memutuskan bahawa pengajian Program Matrikulasi KPM bagi Sesi 2019/2020 ditamatkan sepenuhnya bermula semalam.

KPM dalam satu kenyataan berkata berikutan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April, kementerian itu turut memutuskan bahawa keputusan peperiksaan Semester II akan digantikan dengan keputusan penilaian berterusan dilaksanakan bagi semester tersebut.

"Ini adalah selari dengan keputusan mesyuarat Majlis Dekan atau Pengarah Asasi Universiti Awam pada 24 Mac. KPM menyedari keputusan peperiksaan tersebut (Semester II) amat penting kepada para pelajar Program Matrikulasi Sesi 2019/2020 yang ia akan digunakan bagi permohonan ke Universiti Awam (UA) kemasukan Sesi 2020/2021.

“Justeru, keputusan akhir untuk pelajar Matrikulasi Sesi 2019/2020 adalah berdasarkan gabungan keputusan Semester I dan keputusan penilaian berterusan Semester II," menurut KPM.

KPM meminta semua pelajar yang masih berada di kampus untuk terus kekal mematuhi arahan berkaitan selain pihaknya akan terus memantau keadaan pelajar secara dekat dan mengambil tindakan susulan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar adalah terpelihara.

“KPM terus komited dalam usaha mengawal penularan jangkitan Covid-19 termasuk dalam kalangan pelajar, pensyarah dan kakitangan Kolej Matrikulasi KPM,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619