PBT

MPSepang, MBSA perluas proses nyahkuman

31 Mac 2020, 12:22 AM
MPSepang, MBSA perluas proses nyahkuman

SHAH ALAM, 31 MAC: Beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini giat memperluaskan semburan nyahkuman di kawasan tumpuan awam bagi membendung penyebaran wabak Covid-19.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad berkata pihaknya menjalankan proses nyahkuman sejak 24 Mac lalu di Terminal Bas Seksyen 17.

Katanya kerja semburan akan dilaksanakan setiap hari di lokasi berbeza bagi memelihara keselamatan dan kesihatan penduduk.

"Proses itu bermula dari 9 pagi hingga ke petang melibatkan lapan petugas jabatan kesihatan persekitaran dan jabatan kejuruteraan MBSA.

"Untuk semalam, proses nyahkuman dibuat di beberapa lokasi di Seksyen 6, Seksyen 11, Pusat Bandar Sungai Buloh dan Bandar Baru Sungai Buloh meliputi kedai, balai polis serta surau," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, yang dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata sebanyak 61 lokasi tumpuan orang ramai di daerah itu sudah menjalani proses nyahkuman bermula 24 Mac lalu hingga kelmarin.

"Lokasi terbabit adalah pasar awam (empat), medan selera (17), taman permainan (satu), hentian bas (29), hentian sekatan jalan raya (enam) dan tandas awam (empat).

"Kerja semburan nyahkuman akan mula dibuat selepas tamat aktiviti jual beli di pasar awam sekitar jam 1 petang yang disertai 20 pegawai kesihatan persekitaran, penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pekerja awam," katanya. 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619