AGENDA

Ringgit dijangka teruskan momentum naik minggu depan

28 Mac 2020, 2:47 AM
Ringgit dijangka teruskan momentum naik minggu depan

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Ringgit dijangka meneruskan momentum peningkatannya berbanding dolar AS minggu depan walaupun dalam dagangan berhati-hati, didorong oleh perkembangan ekonomi global dan domestik yang positif, kata peniaga.

Menurut peniaga, pengumuman langkah rangsangan oleh bank pusat global pada minggu ini dijangka mendorong pelabur antarabangsa untuk beralih kepada mata wang negara pesat membangun, termasuk ringgit.

Namun, pelabur global akan terus memantau petunjuk mengenai kesan ekonomi akibat penularan Covid-19.

Pada Khamis misalnya, Senat Amerika Syarikat secara sebulat suara menyokong rang undang-undang bernilai AS$2 trilion bagi membantu pekerja yang menganggur dan industri terjejas oleh wabak Covid-19 serta menyediakan berbilion dolar bagi membeli peralatan perubatan yang amat diperlukan.

Di peringkat tempatan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM250 bilion pada Jumaat bertujuan melindungi kesejahteraan rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi susulan impak pandemik Covid-19.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) juga dijangka menyuntik rasa optimis dalam kalangan pelabur.

Sementara itu, RAM Ratings pula menyifatkan langkah kelonggaran bayaran balik pinjaman yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal minggu ini akan mengekalkan kestabilan sistem perbankan berikutan kesan ketara yang disebabkan pandemik Covid-19.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit ditutup lebih lebih tinggi berbanding dolar AS pada 4.3280/3350 daripada 4.3947/4012 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Pada asas Jumaat-ke-Jumaat, ringgit mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura pada 3.0175/0234 daripada 3.0303/0369 sebelumnya dan meningkat kepada 3.9754/9829 daripada 3.9811/9898 berbanding yen Jepun.

Ringgit bagaimana pun susut berbanding euro kepada 4.7608/7702 daripada 4.7204/7303 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.2841/2943 daripada 5.1926/2042 sebelum ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619