AGENDA

Beri khidmat terbaik, Azam mahu pastikan negara bebas rasuah

9 Mac 2020, 11:20 PM
Beri khidmat terbaik, Azam mahu pastikan negara bebas rasuah

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) baharu Datuk Seri Azam Baki bertekad memberi perkhidmatan terbaik dan memastikan negara bebas rasuah.

Beliau yang berpengalaman kira-kira 35 tahun dalam SPRM menganggap pelantikannya merupakan satu tugas berat dan mencabar.

"Saya akan cuba yang terbaik untuk memikul amanah diberikan berdasarkan pengalaman saya untuk mencegah rasuah dengan lebih berkesan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berazam untuk memastikan SPRM memainkan peranannya dalam membantu negara menjana ekonomi dan mengurangkan ketirisan.

Azam berharap kesemua warga SPRM dan rakyat di negara ini memberi sokongan dalam membantu SPRM mencegah rasuah.

Dalam pada itu, Azam dalam kenyataan, menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas perkenan Seri Paduka melantiknya ke jawatan berkenaan.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan nama saya kepada Seri Paduka.

"Selain itu, saya mewakili seluruh warga SPRM mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan jasa Latheefa Koya sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang ke-14 kerana telah berjaya memimpin SPRM dengan baik dan cemerlang,” katanya.

Beliau merupakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM sebelum ini.

Azam, 57, memulakan kariernya di Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1984 sebagai Penolong Pegawai Siasatan.

Sejak memasuki perkhidmatan BPR ketika itu, beliau menjalankan tugas sebagai pegawai penyiasat, pegawai perisikan, pegawai pendakwaan serta menjalankan tugas sampingan dalam aktiviti pendidikan masyarakat.

Beliau yang mempunyai kelulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ijazah Undang-undang (Jurispruden) daripada Universiti Malaya dan Sarjana daripada Asia E-University, telah berkhidmat melebihi 35 tahun.

Pengalaman luasnya turut menyaksikan beliau menyandang jawatan penting seperti Pengarah Perisikan (2013), Pengarah Siasatan (2015) dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) (2016).

Sepanjang kerjayanya, beliau berpengalaman luas dalam penyiasatan kes berprofil tinggi termasuk 1MDB dan SRC International.

Beliau turut memainkan peranan penting dalam membongkar kes ‘lesen terbang’ pada tahun 2000 apabila beliau merupakan perancang siasatan kes berkenaan dengan kejayaan lebih 100 individu ditangkap serta 100,000 ‘lesen terbang’ disenarai hitam.

Impaknya, kerajaan menambah baik sistem ujian lesen memandu percubaan secara manual ke sistem berkomputer seperti yang ada sekarang.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619