AGENDA

KPKT kembangkan Pusat Komuniti Sifar Sisa di 19 PPR

29 Feb 2020, 7:31 AM
KPKT kembangkan Pusat Komuniti Sifar Sisa di 19 PPR

IPOH, 29 FEB: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk mengembangkan Pusat Komuniti Sifar Sisa (ZeComm) di 19 Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata ketika ini pihaknya telah menubuhkan lima ZeComm iaitu di PPR Kota Bharu, Kelantan; PPR Lembah Subang 2, Selangor; PPR Tehel, Melaka; PPR Senawang, Negeri Sembilan dan Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh.

Beliau berkata inisiatif diperkenalkan sejak 2018, bagi kawasan perumahan terpilih itu selaras dengan pengasingan sisa pepejal yang dirangka untuk menyediakan akses penduduk menjalankan rawatan sisa makanan serta menjual barangan kitar semula, sekali gus mendapatkan ganjaran.

"Melalui ZeComm, satu pusat sifar sisa disediakan iaitu sebuah pusat pengumpulan barangan kitar semula dan pusat kompos. Penduduk perlu mengasingkan sisa makanan dan barang kitar semula dan akan diberi ganjaran dalam cara penebusan barangan harian seperti beras, minyak masak dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Hari Komuniti Negara yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim di sini, hari ini.

Mengenai Hari Komuniti Negara, Mohammad berkata ia diadakan bertujuan menghargai sumbangan serta kerjasama rakan-rakan strategik daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi yang berusaha membantu memperkasa serta mendaya upaya komuniti.

"Sambutan ini secara tidak langsung memberi pendedahan dan hebahan kepada seluruh rakyat supaya sentiasa meneruskan usaha menjadikan komuniti sebagai golongan sasar utama dalam agenda pembangunan.

"Kami juga menyeru rakan strategik berpotensi untuk menjayakan pelaksanaan Dasar Komuniti Negara dan dengan langkah ini, kesejahteraan komuniti perumahan di bandar terutamanya dalam kalangan golongan B40 lebih berdaya maju dan sejahtera secara holistik," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619