AGENDA

Pelajar China di Malaysia disaring, negatif Covid-19

21 Feb 2020, 8:23 AM
Pelajar China di Malaysia disaring, negatif Covid-19

PUTRAJAYA, 21 FEB: Semua pelajar warga China yang baru tiba di Malaysia telah disaring dan didapati negatif Covid-19, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata pelajar warga China perlu melalui saringan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kecuali mereka yang sudah berada di Malaysia lebih dari 14 hari.

"Setiap pelajar (China) mesti melalui saringan dan jika tidak bergejala diletakkan di bawah pengawasan di rumah. Kalau mereka bergejala (selepas itu) ada talian penting yang boleh mereka hubungi," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Peringkat Tinggi berhubung kluster penyakit Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata ketika ini terdapat 11,000 pelajar warga China di negara ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Kluster Covid-19 yang beroperasi di Bahagian Education Malaysia (BEM), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), kata beliau.

Menurut Dr Wan Azizah, semua 20 universiti awam dan 17 institusi pengajian tinggi swasta juga telah membangunkan SOP bagi menangani penularan Covid-19 termasuk Xiamen Universiti Malaysia yang mempunyai ramai pelajar dari China.

Bagi pelajar Malaysia di China pula, katanya, Education Malaysia Beijing (EMB) dengan kerjasama persatuan-persatuan pelajar Malaysia di negara itu telah membangunkan Papan pemuka Pengurusan Pelajar Seberang Laut Covid-19 bagi membantu memantau keberadaan pelajar Malaysia yang sedang menuntut di China.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata proses saringan terhadap rakyat Malaysia atau mana-mana individu yang melawat atau pulang dari China akan diperketatkan melalui saringan suhu badan dan ujian swab.

"Kalau tidak bergejala mereka akan dihantar balik untuk pengawasan di rumah atau kuarantin kendiri. Kalau positif akan terus dibawa ke hospital. Keputusan ujian swab tu boleh diperolehi dalam tempoh lima jam," katanya.

Ditanya mengenai cadangan menyekat kemasukan semua pelancong dari China selama sebulan, Dr Wan Azizah berkata perkara itu ada dibincangkan tetapi mesyuarat hari ini memutuskan tiada keperluan untuk berbuat demikian lagipun saringan terhadap sesiapa sahaja dari China telah diperketatkan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semalam dilaporkan berkata mesyuarat kabinet pada Rabu ada membincangkan cadangan untuk melarang pelancong dari China buat sementara waktu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619