AGENDA

Asean: Ikrar kerjasama, komitmen tangani Covid-19

19 Feb 2020, 11:41 PM
Asean: Ikrar kerjasama, komitmen tangani Covid-19

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Menteri Pertahanan Asean komited untuk saling bekerjasama dalam mengendalikan jangkitan Covid-19 yang telah menjejaskan kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi serta keselamatan dan kestabilan serantau.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) di Hanoi, Vietnam, negara anggota mengesahkan komitmen mereka ke arah meningkatkan kerjasama, termasuk dalam kerjasama perubatan ketenteraan dan perkongsian maklumat, untuk memastikan persekitaran aman, selamat dan stabil.

Menteri berkenaan bersetuju untuk memanfaatkan Rangkaian Pakar Pertahanan Kimia, Biologi dan Radiologi Asean untuk meningkatkan jaringan profesional, dan menggalakkan kerjasama saintifik dalam mengendalikan wabak penyakit berjangkit.

"Kami (Menteri Pertahanan Asean) dengan ini berikrar untuk kekal komited dalam melaksanakan tugas kami dan kekal bersatu dalam usaha menangani wabak Covid-19 untuk kebaikan rakyat negara Asean," menurut kenyataan itu.

Dalam mengendalikan Covid-19, menteri berkenaan menggesa kerjasama padu menerusi pelbagai forum termasuk Pusat Perubatan Ketenteraan Asean; Persidangan Ketua Turus Perubatan Ketenteraan Asean, Persidangan Perubatan Ketenteraan Asean serta kerjasama dengan rakan luar mereka dalam Kumpulan Kerja Pakar Perubatan Ketenteraan, Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean-Campur (ADMM-Campur).

Kenyataan itu juga menggalakkan inisiatif dan cara baharu yang akan menyumbang kepada usaha Asean secara menyeluruh untuk menangani berita palsu berkaitan jangkitan Covid-19 dan memastikan rakyat mendapat maklumat betul mengenai keadaannya.

Menteri Pertahanan Asean berkenaan turut merakamkan simpati kepada negara, komuniti dan individu yang terkesan dengan wabak itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619