AGENDA

RM122 juta baiki, ganti lif bangunan dan kuarters polis

19 Feb 2020, 11:15 PM

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Sejumlah RM122 juta diperuntukkan bagi pembaikan dan penggantian 242 unit lif rosak di bangunan serta kuarters polis, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 201 unit lif kini dalam proses pembaikan oleh kontraktor dilantik manakala baki 41 unit lagi masih dalam proses penyediaan dokumen untuk ditenderkan.

"Bagi memastikan lif sentiasa berada dalam keadaan selamat digunakan, saya meminta Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur melantik kontraktor penyelenggaraan yang kompeten.

"Ini penting kerana punca utama dikenal pasti berlakunya kerosakan lif disebabkan ia tidak diselenggara secara berkala mengikut tempoh ditetapkan," katanya pada sidang media Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di PULAPOL Kuala Lumpur semalam.

Abdul Hamid juga berkata PULAPOL Kuala Lumpur dan Balai Polis Pantai menerima peruntukan RM7.7 juta khusus untuk pembaikan kuarters.

"Kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan kontraktor dilantik merangkumi pendawaian semula elektrik, pembaikan bumbung, bilik air, sistem bekalan air dan sistem kumbahan.

"Saya ingin menyarankan jawatankuasa perumahan serta penghuni kuarters dapat berganding bahu menjaga kemudahan disediakan serta memantau aktiviti tidak bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Jamil Rakon berkata lebih banyak kuarters dan lif diganti bagi menjaga kebajikan polis.

"Kerajaan akan lihat keperluan dan ia turut bergantung kepada peruntukan disediakan Kementerian Kewangan," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619