AGENDA

Hari Wanita Kebangsaan: Empat fokus utama digarap

19 Feb 2020, 12:54 PM
Hari Wanita Kebangsaan: Empat fokus utama digarap

PUTRAJAYA, 19 FEB: Empat fokus utama -- substantif, libat urus komuniti, pertandingan dan keterlihatan -- digarapkan menerusi 17 program yang akan dilaksanakan di peringkat kebangsaan, negeri dan komuniti mulai 1 sehingga 12 Mac bersempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2020.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa menyatakan perkara itu berkata perasmian Hari Wanita peringkat kebangsaan akan disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 6 Mac di sini.

Ditanya kemungkinan perdana menteri akan mengumumkan berita gembira pada majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan itu, Dr Wan Azizah yang tidak menolak kemungkinan itu berkata perkara itu akan menjadi satu kejutan.

Mengambil kira ancaman Covid-19, timbalan perdana menteri berkata cecair pembasmi kuman tangan atau “hand sanitizer” akan disediakan di lokasi program sambutan Hari Wanita.

"Kami jangka pengunjung pada majlis sambutan pada tahun ini kurang sedikit (berbanding tahun lepas disebabkan Covid-19)," katanya dalam sidang media mengenai sambutan Hari Wanita Kebangsaan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini, hari ini.

Antara program dan aktiviti yang akan dilaksanakan bersempena sambutan Hari Wanita 2020 ialah konvensyen pertubuhan bukan kerajaan wanita 2020, Young Women Bootcamp, video kreatif Hari Wanita 2020 dan 'purple walk'.

Menurut Dr Wan Azizah, program 'Malaysian Women Unite' turut dirangka yang akan menjadi platform terutamanya golongan wanita untuk berganding bahu membantu golongan yang memerlukan.

Maklumat lanjut berkaitan program Malaysian Women Unite boleh diperoleh di www.malaysianwomenunite.org, katanya.

Mengenai peratusan golongan wanita dalam sektor pekerjaan iaitu pada kadar 54 peratus kini, Dr Wan Azizah berkata matlamat kerajaan adalah untuk meningkatkannya kepada 56 peratus.

"Infrastruktur sokongan untuk wanita dalam sektor pekerjaan seperti rang undang-undang gangguan seksual dan penjagaan anak perlu ditambah baik,” katanya dan menurutnya rang undang-undang gangguan seksual dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Mac ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619