AGENDA

Pemandu mabuk bakal didenda RM100,000, penjara 20 tahun

15 Feb 2020, 6:38 AM
Pemandu mabuk bakal didenda RM100,000, penjara 20 tahun

BUTTERWORTH, 15 FEB: Individu yang didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dicadang dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman terhadap kesalahan itu dengan hukuman penjara bagi pesalah akan turut ditingkatkan kepada 20 tahun berbanding 10 tahun ketika ini.

"Kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman bagi Seksyen 41 (Akta Pengangkutan Jalan 1987) bagi mereka yang menyebabkan kemalangan sehingga berlaku kematian apabila memandu dalam keadaan mabuk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi lima beradik yang kehilangan bapa mereka,  selepas dilanggar pemandu kereta dipercayai mabuk di kediaman keluarga itu di Jalan Hj Mohd Saad, dekat Bagan Jermal, di sini hari ini.

Menurutnya, pada masa ini hukuman di bawah seksyen berkenaan memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.

Beliau berkata kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia antara yang tertinggi di dunia.

"Kita harus mendapat kerjasama orang ramai walaupun kadar sebenarnya sudah menurun. Kita tidak mahu lihat hampir 7,000 nyawa terkorban hampir setiap tahun akibat kemalangan jalan raya," katanya.

Terdahulu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan meluangkan masa menyantuni lima beradik itu dan turut menyampaikan wang sumbangan sebanyak RM5,000.

"Sebelum ini, kerajaan negeri, agensi dan Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk pejabat Parlimen Bagan menyampaikan sumbangan dan saya ucapkan takziah serta berharap ibu kanak-kanak ini akan cepat sedar dan sembuh. Kita akan terus berikan bantuan dan perhatian kepada keluarga ini," katanya.

Pada 9 Februari lalu, dalam nahas kira-kira pukul 5 pagi, Khairizul Mohamad Noor, 39, meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya Zuriana Hasan, 36, yang cedera parah kini dirawat di Hospital Seberang Jaya dalam keadaan koma.

Dalam kejadian itu, motosikal yang ditunggang pasangan suami isteri dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk di Kilometer 140.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara, susur ke Perai di Bukit Mertajam.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619