AGENDA

Covid-19: Empat lagi pesakit pulih sepenuhnya

14 Feb 2020, 1:00 PM
Covid-19: Empat lagi pesakit pulih sepenuhnya

PUTRAJAYA, 14 FEB: Empat lagi individu yang dijangkiti koronavirus 2019 (Covid-19) telah dibenarkan pulang hari ini, menjadikan bilangan kes yang sembuh dan dibenarkan sebanyak tujuh orang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata empat individu berkenaan merupakan kes pertama, kedua, ketiga dan kelima daripada keseluruhan 19 individu dijangkiti virus itu sejak kes pertama dikesan 25 Jan lalu.

Beliau berkata kesemua empat individu itu merupakan kontak rapat kepada kes pertama membabitkan warga China yang dilaporkan di Singapura, dan telah dimaklumkan melalui International Health Regulation (IHR) Focal Point Malaysia.

"Mereka disahkan sembuh sepenuhnya dan telah dibenarkan pulang setelah ujian pengesanan ulangan Covid-19 yang dijalankan sebanyak dua kali berturut-turut didapati negatif.

"Kesemua mereka merupakan warganegara China, melibatkan wanita berusia 66 tahun, 36 tahun, dan kanak-kanak lelaki berusia 11 dan dua tahun," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat berhubung Covid-19 di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata jumlah kumulatif kes Covid-19 kekal 19 kes dengan sembilan daripadanya adalah kes dalam siasatan (PUI), lapan kes membabitkan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan, melibatkan 13 individu warganegara China dan enam rakyat tempatan.

Beliau berkata sebanyak 239 kontak rapat telah dikenal pasti melibatkan 181 warga Malaysia, 46 China dan 12 individu lain-lain warganegara.

Kesemua kontak rapat yang telah dikesan sudah diambil sampel dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian, katanya.

Dr Wan Azizah berkata semua 107 individu sedang dalam pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Nilai, Negeri Sembilan, berada dalam keadaan baik.

Beliau berkata jika keputusan saringan akhir menunjukkan negatif Covid-19, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah pada hari ke-14 iaitu pada 18 Februari nanti.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619