AGENDA

Ringgit dibuka rendah 4.1410/1440 berbanding dolar AS

13 Feb 2020, 2:12 AM
Ringgit dibuka rendah 4.1410/1440 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada awal dagangan hari ini susulan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2019 yang lebih lemah berbanding jangkaan mengekang minat pelabur terhadap unit tempatan, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada 4.1410/1440 berbanding dolar AS daripada 4.1350/1380 ketika ditutup pada Rabu.

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 3.6 peratus pada suku keempat 2019, menjadikan pertumbuhan KDNK tahun penuh kepada 4.3 peratus, terendah sejak krisis kewangan 2009 berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata walaupun pertumbuhan tahun penuh dalam unjuran BNM di antara 4.3 dengan 4.8 peratus, ia boleh menjadi lebih tinggi pada 4.7 peratus tanpa gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Beliau turut berkata bank pusat memiliki banyak ruang untuk melaraskan kadar dasar semalaman (OPR) bagi mendepani cabaran ekonomi.

Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata prestasi lebih rendah itu boleh menimbulkan jangkaan di dalam pasaran bahawa langkah pengurangan kadar faedah akan dilaksanakan lebih awal.

Beliau juga berkata peningkatan sentimen risiko serantau semakin baik selepas kes jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19) di China dilihat berkurangan selain kenaikan harga minyak mentah sewajarnya menyediakan sokongan serta-merta kepada ringgit.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9834/9867 daripada 2.9817/9858 ketika ditutup pada Rabu dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7669/7700 daripada 3.7591/7625.

Mata wang tempatan bagaimanapun naik berbanding euro kepada 4.5021/5070 daripada 4.5150/519 semalam dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3651/3694 daripada 5.3668/3724.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619