AGENDA

Malaysia sentiasa siap sedia hadapi penyakit berjangkit

12 Feb 2020, 2:44 PM
Malaysia sentiasa siap sedia hadapi penyakit berjangkit

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Pengalaman Malaysia berdepan dengan krisis kesihatan seperti virus Zika, Influenza dan Nipah pada masa lepas membolehkan negara ini sentiasa dalam keadaan bersiap sedia menghadapi sebarang penularan penyakit berjangkit.

Ketua dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Perubatan Kecemasan Universiti Malaya Prof Madya Datuk Dr M. Rishya berkata berdasarkan pengalaman itu, dengan beberapa penambahbaikan mengikut panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan Covid-19 di negara ini dapat dikawal dan dikendalikan dengan baik.

“Kita pernah diuji dengan penyakit seperti Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) ataupun Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) sebelum ini, jadi kesiapsiagaan dapat dilakukan dengan cepat melalui garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia dan WHO,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program televisyen ‘The Nation’, di Wisma Bernama hari ini.

Beliau berkata antara langkah kesiapsiagaan yang dilakukan itu ialah pengasingan pesakit, mengehadkan kontak kepada staf yang merawat sahaja dan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap.

“Contoh, sekiranya pesakit mempunyai tanda-tanda positif Covid-19 dan mempunyai sejarah ke China, mereka perlu laporkan diri ke tempat khas di luar jabatan kecemasan...dan jika disahkan positif mereka akan ditempatkan dalam bilik berasingan bagi tujuan pemantauan yang lebih lanjut,” katanya.

Pada masa sama Dr Rishya menasihati masyarakat supaya tidak panik kerana jumlah jangkitan Covid-19 di negara ini masih rendah dan mereka perlu menjaga kesihatan diri serta mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619