AGENDA

Koronavirus: Pas khas untuk pelancong China

8 Feb 2020, 4:05 AM
Koronavirus: Pas khas untuk pelancong China

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Pelancong warga China yang masih berada di Malaysia kerana mempunyai masalah kesihatan atau gagal mendapatkan penerbangan keluar dari negara ini, akan diberikan pas khas.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pas khas itu hanya boleh diperoleh selepas mendapat perakuan daripada Kedutaan China susulan sekatan perjalanan dikenakan ke atas pelawat China, dari Wilayah Hubei termasuk Wuhan, susulan penularan koronavirus 2019.

“Bagi pelancong yang masih berada dalam negara ini, visa mereka tidak akan dilanjutkan kecuali mempunyai masalah kesihatan atau gagal mendapatkan penerbangan keluar.

“Berkuat kuasa 27 Januari lepas, mereka (pelancong) mesti datang ke pejabat JIM bersama tiket penerbangan keluar dan mendapatkan perakuan daripada Kedutaan China untuk memohon pas khas berkenaan," katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi penguatkuasaan di sebuah pangsapuri di Ara Damansara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penerima pas khas itu akan diberi tempoh 14 atau 30 hari untuk berada di di negara ini mengikut tarikh penerbangan keluar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan sebelum ini, berkata sekatan perjalanan ke Malaysia yang dikenakan ke atas pelawat China dari Wilayah Hubei termasuk Wuhan, akan diperluaskan meliputi wilayah lain selepas dikenakan sekatan pergerakan keluar masuk (lockdown) oleh kerajaan China.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, memaklumkan langkah itu diputuskan setelah mengambil kira status semasa berhubung wabak koronavirus.

Dr Wan Azizah turut memaklumkan JIM akan mengambil tindakan sekatan perjalanan sebaik sahaja kerajaan China mengisytiharkan sesebuah wilayah di ‘lockdown’.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619