AGENDA

Koronavirus: Penumpang antarabangsa, krew penerbangan diimbas

25 Jan 2020, 7:20 AM
Koronavirus: Penumpang antarabangsa, krew penerbangan diimbas

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan bagi memeriksa penumpang antarabangsa di lapangan terbang pintu masuk utama di seluruh negara susulan penularan wabak coronavirus di Wuhan, China.

Sebagai pengendali lapangan terbang, MAHB bersama-sama agensi dan syarikat penerbangan berkaitan telah mengambil langkah tambahan bagi memastikan risiko pendedahan diminimumkan untuk keselamatan semua, terutama penumpang dan kakitangan yang bekerja di terminal.

"Kami memberi jaminan kepada semua bahawa kami mengambil serius ke atas wabak ini dan kami tidak akan menjejaskan kesejahteraan pemegang kepentingan kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara langkah yang diambil oleh kementerian dan disokong oleh MAHB iakah menjalankan pemeriksaan haba ke atas penumpang dan anak kapal yang tiba dari China.

"Kami menyediakan ruang perubatan khas untuk tujuan kuarantin di pintu masuk ketibaan untuk menempatkan penumpang yang menunjukkan tanda-tanda dijangkiti virus berkenaan.

"Selain itu, kami telah menetapkan pintu masuk lain bagi ketibaan penerbangan masuk dari China di kawasan yang lebih dekat dengan tempat khas perubatan bagi mempercepat prosedur kuarantin dan meminimumkan risiko pendedahan kepada orang ramai," kata MAHB.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu pemberita bahawa tiga orang yang terdiri daripada lapan warga China yang dikuarantin di Johor Bahru, positif coronavirus novel, yang juga dikenali sebagai coronavirus Wuhan.

Ketiga-tiganya kini dirawat di wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh.

MAHB berkata rakan kongsi syarikat penerbangan itu membuat pengumuman perlu kepada penumpang mereka serta mengedarkan Kad Amaran Kesihatan (HAC) yang dikeluarkan oleh kementerian untuk penumpang memaklumkan mengenai keadaan kesihatan mereka.

HAC juga diedarkan di kaunter imigresen.

Mereka yang demam atau batuk atau menghadapi kesukaran bernafas akan dibawa ke hospital terdekat sebaik tiba.

"Lapangan Terbang telah menyediakan topeng dan sanitari tangan untuk kakitangan, di lokasi strategik di seluruh terminal.

"Malaysia Airports mengingatkan orang ramai supaya memakai topeng setiap masa dan menggunakan sanitizer tangan untuk mengekalkan kebersihan maksimum semasa wabak ini," kata MAHB.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619