AGENDA

Permohonan Najib dapatkan salinan klip audio didengar 24 Februari

23 Jan 2020, 5:45 AM
Permohonan Najib dapatkan salinan klip audio didengar 24 Februari

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Mahkamah Tinggi menetapkan 24 Februari untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi mendapatkan dan memeriksa salinan rakaman audio perbualan yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

"Pihak pemohon (Najib) memfailkan notis usul pada 15 Januari lalu untuk mendapatkan salinan semua rakaman audio yang didedahkan semasa sidang media oleh Latheefa Koya (Ketua Pesuruhjaya SPRM) baru-baru ini," katanya kepada media selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyudin Mohmad Som hari ini.

Beliau yang mewakili pendakwaan selaku responden dalam permohonan itu berkata mahkamah turut menetapkan 6 Februari untuk pihak responden memfailkan afidavit balasan.

Peguam Zahria Eleena Ahmad Reza mewakili Najib.

Najib dalam permohonannya memohon perintah mahkamah supaya pihak pendakwaan atau SPRM atau mana-mana entiti lain yang mempunyai pemilikan untuk membenarkan pemohon memeriksa salinan sebenar rakaman audio terbabit.

Pada 8 Januari lalu, SPRM memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib semasa menjadi Perdana Menteri dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan membabitkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619