ad
AGENDA

Garis panduan PPR diperkenal Jun ini - Zuraida

22 Jan 2020, 2:15 AM
Garis panduan PPR diperkenal Jun ini - Zuraida

PUTRAJAYA, 22 JAN: Satu garis panduan akan diperkenalkan bagi permohonan baharu untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) antaranya mengandungi pelaksanaan sistem demerit, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang merangka garis panduan itu yang dijangka dikeluarkan Jun ini.

“Garis panduan itu juga mempunyai kaedah menapis pemohon PPR berpotensi dengan teliti seperti mengikut jumlah pendapatan, selain mewajibkan pemohon mengikuti induksi sebelum dibenarkan menduduki rumah.

“Kita juga akan memberi demerit sistem yang mana mereka harus menepati peraturan yang cukup ketat dan sesiapa yang melanggar peraturan-peraturan ini, kita berhak mengusir mereka keluar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Pencapaian 2019 KPKT semalam.

Menurutnya menerusi garis panduan itu, selain memastikan hanya mereka yang benar-benar susah dan layak menduduki rumah berkenaan ia juga akan memastikan harta benda sertakawasan persekitaran di PPR akan lebih terjaga dan terurus.

Terdahulu semasa berucap di hadapan warga KPKT itu Zuraida berkata beliau mahu semua mereka sentiasa bekerjasama dan menyokong antara satu sama lain bagi memastikan segala sasaran kementerian tercapai.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.