AGENDA

Data peribadi program e-Tunai Rakyat disimpan secara sulit - Guan Eng

17 Jan 2020, 2:49 PM
Data peribadi program e-Tunai Rakyat disimpan secara sulit - Guan Eng

KUCHING, 17 JAN: Semua data peribadi yang diterima menerusi program e-Tunai Rakyat akan disimpan secara sulit oleh agensi pelaksana, Khazanah Nasional Berhad, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata Khazanah Nasional Berhad adalah sebuah syarikat pelaburan dana kekayaan yang dimiliki oleh kerajaan dan semua data diperolehnya adalah sama seperti yang dimiliki oleh kerajaan.

“Kalau kerajaan mahukan data peribadi rakyat Malaysia, ia sudah ada di dalam kad pengenalan. Ia lebih terperinci dan lebih menyeluruh.

“Ia bernilai kepada syarakat swasta yang terlibat dalam perniagaan dan perdagangan tapi sekiranya ia dimiliki oleh kerajaan, kita bukan dalam perniagaan, tentu kita tidak akan gunakannya untuk manfaat sedemikian,” katanya pada sidang media selepas mempromosi Pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat kepada warga Kuching di pusat membeli-belah The Spring, di sini malam ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen.

Guan Eng meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tohmahan yang tidak berasas pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab kononnya program itu adalah strategi kerajaan untuk mendapatkan maklumat peribadi rakyat.

“Semua individu yang telah mendaftar itu, mereka tahu ia dikendalikan oleh kerajaan dan kerana itu mereka yakin untuk mendaftar dan menikmati insentif berkenaan,” tambahnya.

Program e-Tunai Rakyat dilancarkan pada Selasa bagi membolehkan rakyat Malaysia berkelayakan menuntut RM30 melalui tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Guan Eng berkata setakat ini lebih 800,000 permohonan telah diluluskan dan RM24 juta dibelanjakan.

Inisiatif berkenaan diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020, Oktober tahun lepas yang menyediakan peruntukan RM450 juta bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan masyarakat tanpa tunai.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619