AGENDA

Pendaftaran subsidi petrol M40 awal suku kedua 2020

12 Jan 2020, 7:26 AM
Pendaftaran subsidi petrol M40 awal suku kedua 2020

SHAH ALAM, 12 JAN: Pendaftaran subsidi petrol bagi isi rumah kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dijangka dibuka awal suku kedua tahun ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kementeriannya dan Kementerian Kewangan sedang mengkaji mekanisme yang lebih sesuai untuk menyalurkan subsidi berkenaan kepada penerima M40 sama ada melalui kad atau tunai.

"Data untuk penerima bagi golongan B40 kami telah lengkapkan dan kaedah yang sesuai bagi pengagihan subsidi antara yang sedang dibincangkan oleh kedua-dua kementerian, apabila program subsidi ini dilaksanakan kelak.

"Pada masa sama KPDNHEP menjalankan kajian untuk B40 (dan) berpendapat sumbangan tunai untuk pengagihan subsidi lebih cekap berbanding kaedah lain.

"Jadi dengan penangguhan (pelaksanaan subsidi) ini, ia memberi peluang kepada kedua-dua kementerian untuk mencapai satu keputusan sama," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kejohanan Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata program subsidi petrol dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengelakkan subsidi berkenaan digunakan oleh golongan mewah dan warga asing.

"Rakyat perlu memahami bahawa kebaikan pelaksanaan petrol subsidi ini adalah kita ambil subsidi yang dinikmati oleh orang berada, orang kaya atau warga asing yang tinggal di negara kita dan beri kepada golongan yang layak,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619