AGENDA

Najib beli jaket AS$38,695 di House of Bijan

9 Jan 2020, 1:36 PM
Najib beli jaket AS$38,695 di House of Bijan

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia telah membeli jaket atau sut bernilai AS$38,695 (RM130,188.52) di House of Bijan, sebuah butik dianggap termahal di dunia, yang terletak di Rodeo Drive di Beverly Hills, California, Amerika Syarikat.

Urusan pembelian tersebut dibuat dengan menggunakan kad kredit miliknya, Ambank Platinum Master Card, pada 3 Januari 2014.

Beliau berkata demikian ketika diperiksa balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram mengenai perbelanjaan kad kreditnya.

Sithambaram: Datuk Seri, kamu telah membelanjakan RM79,946.75 di House of Bijan pada 3 Januari 2014. Ini untuk perbelanjaan peribadi anda?

Najib: Ya

Sithambaram: Datuk Seri, kamu juga membelanjakan RM50,241.77 di House of Bijan pada tarikh yang sama. Ia juga perbelanjaan peribadi kamu?

Najib: Ya

Sithambaram: Bolehkah saya minta kamu perbelanjaan itu untuk apa?

Najib: Mungkin jaket atau sut, saya tidak berapa ingat.

Terdahulu, Sithambaram juga mendedahkan bahawa RM14,662.46 telah dibelanjakan di Stefano Ricci pada 28 Disember 2013.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International, membabitkan tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 20 Januari ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619