AGENDA

Maszlee sifatkan keputusan 'pulang' jawatan ada hikmah

4 Jan 2020, 10:15 AM
Maszlee sifatkan keputusan 'pulang' jawatan ada hikmah

KLUANG, 4 JAN: Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik menyifatkan keputusan beliau 'memulangkan' jawatan Menteri Pendidikan, dua hari lepas, mempunyai hikmah tersendiri buat dirinya dan penduduk Parlimen Simpang Renggam.

Berucap pada Program Bersama Penduduk yang berlangsung di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Simpang Renggam, di sini hari ini, Maszlee berkata beliau tidak berasa sedih mahupun marah dengan keputusan dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menasihatinya 'memulangkan' jawatan itu.

"Saya tidak sedih, tidak marah. Yakin ada hikmah di sebalik perkara ini...paling besar saya dapat kembali berkhidmat buat rakyat Simpang Renggam," katanya.

Menurut Maszlee, beliau berterima kasih kepada perdana menteri kerana memberi peluang selama 20 bulan untuk membuktikan dirinya mampu menggalas tanggungjawab diberikan.

Beliau turut mengakui tempoh itu merupakan kenangan manis sepanjang hidupnya yang sudah berumur 45 tahun.

Untuk pembangunan Simpang Renggam, beliau merancang memperkenalkan kad laporan bagi merekodkan pencapaian Ahli Majlis, Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR).

Maszlee dalam pada itu turut berterima kasih atas sokongan yang diberikan masyarakat terhadap dirinya menerusi petisyen dalam talian yang mendesak agar beliau dikekalkan sebagai Menteri Pendidikan.

"Saya difahamkan petisyen itu sudah hampir setengah juta, terima kasih, saya faham dan berkongsi simpati.

Saya yakin 'tapak' yang saya sediakan di Kementerian Pendidikan mencukupi dan pengganti saya nanti akan dapat meneruskan agenda pendidikan negara," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619